Penternak lintah dari Kampung Jaya Gading, Kuantan, Pahang, Norazlan Abdul Rahman, 37, berkata lintah kini menjadi ternakan komersial berikutan permintaan tinggi untuk ramuan kosmetik dan perubatan.
“Kebanyakan lintah yang diternak di negara ini dieksport ke luar negara yang dikenal pasti sebagai pasaran berpotensi haiwan ini.
“Ada dua jenis lintah ternak, iaitu lintah perut hijau dan perut perang yang mendapat permintaan tinggi di pasaran apabila kedua-duanya mampu mencecah harga antara RM40 hingga RM60 satu kilogram (kg) mengikut saiz,” katanya.
Norazlan berkata, lintah semakin mendapat tempat dalam amalan perubatan moden kerana cecair yang dikeluarkan daripada kelenjar liurnya ketika haiwan itu menghisap darah didapati mampu menghalang darah daripada membeku, manakala histamin pada lintah mampu membesarkan pembuluh darah, sekali gus melancarkan peredaran darah dan oksigen.
Ternakan lintah tidak memerlukan kolam luas seperti ikan, sebaliknya memadai dengan kolam bersaiz 20 kaki lebar dan panjang 60 kaki.
Dasar kolam pula perlu dihampar dengan plastik dan dimasukkan pasir halus untuk haiwan itu bersembunyi.
“Plastik dan pasir diletakkan dalam kolam supaya lintah tidak hilang ketika waktu menuainya yang mencapai tempoh matang ketika berusia empat bulan dan boleh mula bertelur.
“Haiwan ini bertelur dalam air dan seekor lintah boleh mempunyai kedua-dua organ jantan dan betina. Lintah induk membawa anak dari telur di dalam kantung yang terbentuk melalui lipatan permukaan bawah badannya. Kadangkala anaknya melekat di bawah badan induk,” katanya.
Menurut Norazlan, telur yang terhasil akan terlekat pada objek di dalam air seperti tunggul kayu dan tumbuhan akuatik. Oleh itu, dalam kolam ternakan, batu-bata disusun empat segi membentuk petak sebagai tempat mengumpul telur.
Bagi bekalan makanan haiwan ini yang menjadikan darah sebagai bahan makanan utama, Norazlan menyediakan kira-kira 30 hingga 40 kg belut untuk 100 kg lintah dan selepas makan darah dengan secukupnya, ia boleh hidup untuk beberapa bulan tanpa mendapatkan darah lagi.
“Lintah boleh membesar enam hingga 10 kali ganda saiz asalnya selepas menghisap darah dan induknya boleh menghasilkan 300 hingga 500 benih lintah sekali bertelur.
“Namun, bekalan benih sukar diperoleh berikutan permintaan tinggi, selain negara masih kekurangan pengusaha lintah. Tidak hairan harga benih lintah boleh mencecah sehingga RM300 satu kg,” katanya yang juga lulusan ijazah dalam Sains Kimia dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Selepas lebih lima bulan mengusahakan ternakan lintah, kini Norazlan boleh berpuas hati dengan hasilnya yang menunggu masa untuk dituai.
“Pada awal perancangan ternakan lintah, saya ingin mengeksportnya saja menerusi bantuan syarikat yang menganjurkan kursus berkenaan. Namun, kini saya mula meneroka peluang lebih luas apabila ingin menghasilkan sendiri minyak lintah.
“Penghasilan minyak ini dijalankan dengan kerjasama jabatan farmasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Saya menunggu waktu sesuai untuk mendaftar produk ini yang bermanfaat untuk sapuan pada tubuh bagi melancarkan peredaran darah,” katanya.
Norazlan berkata, mereka yang mengalami bengkak, salah urat atau sakit sendi disyor menggunakan minyak sapu itu kerana ia membantu memulihkan penyakit berkenaan.
Wednesday, January 23, 2008
INFORMASI MENGENAI TERNAKAN LINTAH:
at 4:42 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
saya berminat dengan blog yang ditulis oleh tuan ini. Menarik dan sangat mengujakan. macamana saya boleh berhubung dengan tuan untuk mengetahui mengenai ternakan lintah dalam kolam ini. perhaps we can meet each other one day. terima kasih. asskum
Ternakan lintah adalah baru dalam malaysia dan kemungkinan anda perlu tahu bahwa permit untuk mengeksport lintah adalah dibawah bidang kuasa jabatan perhilitan dan bukannya jabatan perikanan
raja bollywood
email sy.
ann_5485@yahoo.com
Post a Comment